Wednesday, December 03, 2008

SIMPATI KEPADA SAHABAT MANGSA BANJIR

Pertama-tamanya saya melahirkan simpati kepada sahabat-sahabat yang di dalam kesusahan kerana dirundung malang akibat banjir yang melanda kawasan kediaman mereka. Kepada sahabat-sahabat yang tinggal di Pusu Tiga, Tepoh dan Rhu Muda yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir, harap redha dan sabar dengan ketentuan Allah ini. Walaupun ungkapan sabar senang sekali saya ucapkan kepada sahabat, tetapi kepada sahabat yang melaluinya amat payah untuk menelannya.


Saya boleh bayangkan bagaimana kalut dan cemasnya para sahabat menghadapi keadaan ini. Ditambah lagi saya difahamkan paras air mula naik secara mendadak pada awal pagi semasa sedang tidur lena diulit mimpi yang indah. Bukan perkara mudah untuk menyelamatkan harta benda dan nyawa dibawah tanggungan sahabat sekelian...anak-anak...perlu diutamakan..


Hujan yang turun dengan lebat pada hari Jumaat hingga hari Selasa (28.11.08 - 2. 12.08) mengakibatkan berlakunya banjir ini. Bukan sesuatu yang pelik banjir berlaku di Negeri Terengganu. Ia perkara biasa. Bulan Oktober hingga bulan Januari merupakan musim Monson Timur Laut yang membawa hujan yang agak lebat di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung. Setiap tahun negeri-negeri ini sentiasa dilanda banjir atau orang Terengganu panggil "bah".

Kepada para sahabat yang terpaksa tinggal buat sementara waktu di pusat pemindahan banjir, laluilah ia dengan senyum. Walaupun terpaksa makan nasi kawah, ikan sardin, ikan kering dan berulamkan air mata, hadapilah dengan tabah. Mungkin ada hikmah disebalik kejadian ini. Hanya Allah saja yang maha mengetahui.

Saya memanjatkan doa kepada Allah, agar Ya Spek, Halim, Ndek, Lizaidi dan sahabat lain sentiasa dilindungiNya dalam menghadapi saat sukar begini. Semoga keadaan kembali normal secepat mungkin. Yang pasti, pengalaman pahit yang dialami sahabat sekelian cukup bermakna.

No comments: