Sunday, August 10, 2008

KUALA SUNGAI MARANG


Marang terkenal di seluruh negara kerana Pulau Kapas. Ia merupakan satu-satunya pulau yang paling hampir dengan daratan yang terdapat di Terengganu ini. Pemandangan di pulau ini sungguh cantik dengan pasir pantainya yang putih melepak. Batu karang yang terdapat di sini tidak kurang cantiknya berbanding Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Sebelum tahun 2000, para pelancong yang ingin melancong ke Pulau Kapas mengalami sedikit masalah. Masalah yang dimaksudkan ialah muara Sungai Marang menjadi cetek dan sempit. Ia menjadi terlalu cetek jika air surut sehinggakan bot pelancong tidak dapat melepasinya. Banyak kejadian bot pelancong yang diperbuat daripada kayu itu tersangkut dan tak dapat menghantar pelancong ke Pulau Kapas. Ini mengakibatkan pelancong-pelancong tidak puas hati. Begitu juga dengan bot nelayan.

Selepas itu, masalah ini tidak berlaku lagi. Ini kerana kerajaan telah menjalankan kerja-kerja membina benteng pemecah ombak di muara sungai tersebut. Projek ini memakan belanja jutaan ringgit dan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan. Bila projek ini siap, bot nelayan dan bot pelancong tidak lagi tersangkut di sungai cetek. Sungai juga dipedalamkan. Kalau dulu bot nelayan yang balik dari laut nak masuk ke Sungai Marang terpaksa menunggu sehingga air pasang. Kebanyakan bot nelayan terpaksa melabuhkan bot mereka di luar muara sungai kerana takut tak dapat keluar ke laut tika air surut. Para nelayan akan diangkut dengan bot kecil dari pantai ke bot di laut. Ini sangat berbahaya kerana bot kecil itu akan dilambung ombak. Para nelayan dan pengusaha bot pelancong patut bersyukur dengan pembinaan projek tersebut.

Generasi hari ini sudah pasti tidak dapat melihat dan menyaksikan Kuala Sungai Marang yang asal dan semulajadi yang dikatakan mengalami masalah kecetekan tersebut.

GAMBAR SERIBU KENANGAN...


Dalam benak ini berbagai perkara nak di tuliskan dalam blog ini. Perkara yang menjadi keutamaan ialah menjadi seorang yang dapat mengingatkan kepada generasi hari ini tentang peristiwa dan sejarah yang berlaku terutama di Daerah Marang. Daerah kelahiran saya. Dalam usaha mencari bahan untuk penulisan, secara tak sengaja seorang kawan baik saya, Jalil Othman menunjukkan dua album lama kepunyaan bapa saudaranya, Pak Harun. Saya membelek album tersebut. Gambar yang terdapat dalam album tersebut semuanya gambar lama yang berkaitan Marang. Tetapi saya tertarik kepada sekeping gambar hitam putih. Gambar ini merupakan pemandangan dari udara Bandar Marang. Saya agak gambar ini di ambil sekitar akhir tahun 60an. Saya berkata begitu kerana jambatan yang merentangi Sungai Marang sudah pun ada dan telah digunakan dalam gambar itu. Seingat saya, jambatan itu dirasmikan dalam tahun 1969. Saya siarkan gambar foto tersebut untuk tatapan semua walaupun ia kurang jelas dan terdapat sedikit kecacatan. Sebenarnya foto tersebut merupakan sekeping postcard.