Sunday, August 10, 2008

KUALA SUNGAI MARANG


Marang terkenal di seluruh negara kerana Pulau Kapas. Ia merupakan satu-satunya pulau yang paling hampir dengan daratan yang terdapat di Terengganu ini. Pemandangan di pulau ini sungguh cantik dengan pasir pantainya yang putih melepak. Batu karang yang terdapat di sini tidak kurang cantiknya berbanding Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Sebelum tahun 2000, para pelancong yang ingin melancong ke Pulau Kapas mengalami sedikit masalah. Masalah yang dimaksudkan ialah muara Sungai Marang menjadi cetek dan sempit. Ia menjadi terlalu cetek jika air surut sehinggakan bot pelancong tidak dapat melepasinya. Banyak kejadian bot pelancong yang diperbuat daripada kayu itu tersangkut dan tak dapat menghantar pelancong ke Pulau Kapas. Ini mengakibatkan pelancong-pelancong tidak puas hati. Begitu juga dengan bot nelayan.

Selepas itu, masalah ini tidak berlaku lagi. Ini kerana kerajaan telah menjalankan kerja-kerja membina benteng pemecah ombak di muara sungai tersebut. Projek ini memakan belanja jutaan ringgit dan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan. Bila projek ini siap, bot nelayan dan bot pelancong tidak lagi tersangkut di sungai cetek. Sungai juga dipedalamkan. Kalau dulu bot nelayan yang balik dari laut nak masuk ke Sungai Marang terpaksa menunggu sehingga air pasang. Kebanyakan bot nelayan terpaksa melabuhkan bot mereka di luar muara sungai kerana takut tak dapat keluar ke laut tika air surut. Para nelayan akan diangkut dengan bot kecil dari pantai ke bot di laut. Ini sangat berbahaya kerana bot kecil itu akan dilambung ombak. Para nelayan dan pengusaha bot pelancong patut bersyukur dengan pembinaan projek tersebut.

Generasi hari ini sudah pasti tidak dapat melihat dan menyaksikan Kuala Sungai Marang yang asal dan semulajadi yang dikatakan mengalami masalah kecetekan tersebut.

No comments: