Wednesday, December 31, 2008

GAJAH JINAK DI TASEK KENYIR

Gajah betina "SURIA". Jinak sungguh gajah ni.
Gajah jantan"CHALIL". Agak garang.


Baru-baru ini saya berkesempatan meronda dengan kawan-kawan ke satu tempat yang belum pernah saya sampai. Tempat itu bukan nya jauh sangat. Tetapi tiada kesempatan dan peluang membuatkan saya lalai untuk sampai ke sana.

Tempat yang saya maksudkan ialah, jalanraya yang menghubungkan Kuala Berang dan Simpang Pulai, Perak. Sebenarnya jalanraya ini sudah lama digunakan. Orang Terengganu nak ke Perak sering menggunakan jalan ini. Mereka tidak lagi menggunakan jalan Gua Musang, Kuala Kerai, Machang atau melalui Grik. Laluan ini boleh menjimatkan masa dan perjalanan.

Tetapi awas...risiko ditanggung sendiri. Jalan ini belum lagi di wartakan oleh kerajaan. Jadi sentiasa berjaga-jaga melaui jalan ini.
Bermula daripada Pangkalan Gawi, jalannya cukup cantik. Lereng-lereng bukit dipotong dan ditanam dengan rumput, menjadikan pemandangannya sungguh menawan. Bila melalui tepi Tasek Kenyir, pemandangannya lebih cantik. Jauh di bawah sana Tasek Kenyir terbentang luas, merupakan salah satu tempat saya pernah menjalankan penyelidikan dan kajian. Sebelum ada jalan ini, untuk ke sini terpaksa menggunakan bot dan perjalanan mengambil masa 4 jam. Itulah Sungai Belimbing.
Sebelum terbinanya jalan raya ini, kumpulan saya pernah membuat perjalanan dari Pangkalan Gawi menuju Felda Areng, Kelantan. Dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, kami bertekad untuk sampai juga ke destinasi kami itu. Kami terpaksa meredah jalan tanah merah, bekas jalan lori balak atau "santai wong" yang menjadi raja di situ suatu ketika dulu. Jalannya banyak yang rosak. Kerana sudah lama ia tidak digunakan. Dan operasi mengeluarkan balak sudah lama berhenti. Setengahnya terputus. Terpaksa kami buat jambatan sementara dari batang pokok. Sekadar boleh lepas. Bukan satu, tapi lebih dari lima kami terpaksa bina jambatan untuk kami lalu. Tapi kami rasa puas. Walaupun terpaksa kerja kuat. Itu dinamakan cabaran untuk lelaki.

Bila malam tiba, kami mencari bekas rumah pekerja (kongsi) balak. Sekadar untuk berehat dan melepaskan penat. Makan minum tiada masalah. Ikan tiada masalah. Sungai dekat. Jala kami bawa bersama. Di Sungai Ketiar, kami hanya menebar jala dua kali saja. Hasilnya, satu tong kami dapat ikan lampam. Cukup banyak ikan.
Kami juga mencari pelanduk dan napuh di malam hari. Kami membawa senapang. Jumpa haiwan itu, kami tembak. Daging kami gulai. Kulitnya kami simpan. Walaupun ia salah di sisi undang-undang. Tetapi pengalaman itu cukup menarik.

Pernah sebuah kenderaan pacuan empat roda yang kami naiki rosak di tengah hutan belantara. Kami hanya dua buah. Tak boleh jalan. Lu Pikir lah sendiri bagaimana susahnya kami ketika itu. Tetapi cabaran mesti diteruskan. Kerana kemahuan dan semangat yang tinggi akhirnya kami berjaya merentasi kesukaran itu. Berjaya juga kami akhirnya. Masing-masing tersenyum. Tanda puas. Itulah lelaki sejati.

Berbalik kita kepada perjalanan saya. Saya meneruskan perjalanan. Tiada apa yang kami temui di tepi jalan. Tiada kedai makan. Tandas, jauh sekali. Yang ada hanya bukit kiri dan kanan. Sungguh boring. Jemu.

Sampai di satu tempat, saya terbaca papan tanda."Pusat Santuari Gajah Sungai Ketiar". Kami berpakat untuk berhenti rehat di sini. Kami masuk ke pusat tersebut. Dari jalan raya lagi lami sudah boleh nampak dua ekor gajah. Besar juga gajah tu. Terdapat lima buah kenderaan di kawasan letak kereta.
Saya berjalan menuju ke arah gajah tersebut. Terdapat seorang gembala sedang bermain ddengan gajah itu. Saya sempat bertanya kepada gembala tersebut, boleh ke saya bermain dengan gajah tu. Selamba je dia jawab. Kalau berani boleh le. Eik. Lain macam je.

Saya memberanikan diri. Berdiri disebelah gajah. Pegang telinga. Sentuh bulu. Bermain dengan belalai. Semuanya boleh. Gajah tu tak marah. Rupanya gajah tu gajah jinak. Betina lagi. Sudah dilatih. Saya dimaklumkan gajah tu berusia 8 tahun. Yang betina ni lebih jinak bernama SURIA. Ditangkap di Kampung Pak Kancil, Setiu, Terengganu. Yang jantan lebih garang. Ada gading. Tapi dah dipotong. Agak agresif. Tak boleh nak hampiri.Tak boleh nak bermanja langsung dengan yang jantan. Namanya CHALIL. Berasal dari Kesedar Chalil, Gua Musang Kelantan.

Kedua-dua gajah ni makan banyak. Setiap hari ia makan 80 kg sayuran, daun dan buahan. Banyak nye tu. Tak mampu saya nak tanggung gajah-gajah ni. Kalau macam ni, tauke kapal boleh terlingkup.....
Pusat ini adalah di bawah seliaan PERHILITAN Negeri Terengganu. Saya rasa tempat ni sungguh strategik. Ia mampu menjadi satu destinasi pelancongan yang baik jika di perelokkan lagi serta diperbanyakkan lagi kemudahan asas serta gajah-gajah. Saya difahamkan pelawat juga boleh menaiki belakang gajah. Macam orang zaman dulu.
Seronok juga saya di lokasi ini. Saya akan bawa keluarga ke sini sekali lagi. Tahniah kepada kerajaan terengganu dan PERHILITAN Negeri Terengganu di atas usaha mengadakan pusat ini.

KEPUTUSAN PMR

Hari Selasa lepas keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) telah umumkan. Pada hari itu, berduyun-duyunlah pelajar menuju ke sekolah masing-masing untuk mendapatkan keputusan. Ada setengah daripada mereka tak dapat tidur lena semalaman. Takut untuk menghadapi kenyataan esok hari. Samada keputusan baik atau sebaliknya.


Bagi mereka yang bijak, yang sentiasa mendapat keputusan 9A atau 8A dalam peperiksaan penggal, masih lagi cemas. Mereka takut kalau-kalau keputusan kali ini tidak seperti keputusan percubaan yang begitu cemerlang.


Kepada Awar dan Atia, anak saudara dan juga K tahniah diucapkan. Teruskan kecemerlangan hari ini untuk menghadapi SPM dua tahun dari sekarang.




Sunday, December 14, 2008

NELAYAN MODEN





Baru-baru ni saya dan beberapa orang geng yang sekepala minat dengan alam semula jadi seperti saya mengadakan XPDC ke sebuah sungai nun jauh di pedalaman. Tujuan asal adalah semata-mata untuk menikmati keindahan alam ciptaan Allah ini. Di antara geng-geng tu, terdapat beberapa orang insan seni yang selalu menonjolkan hasil seninya melalui pengamatan alam semula jadi. Dengan harapan kedatangan kami ke tempat ini berjaya menghasilkan beberapa karya yang bermutu.

Sungai yang tidak begitu dalam dengan air yang cukup jernih memberikan rasa kedamaian kepada rombongan kami. Deruan air mengalir menuruni batu-batu menjadi sumber ilham kepada kami untuk berkarya.

Dalam kami bersantai dan melayang fikiran fikiran masing-masing, suatu pagi kami dikejutkan dengan tempik sorak yang memecah keheningan pagi. Rupa-rupanya geng-geng yang sedang mandi manda di sungai terserempak dengan sekumpulan ikan lampang yang terkepung. Tak boleh kemana-mana. Lantas kami mencapai pukat yang kebetulannya kami bawa bersama, lalu menahannya dimuara sungai yang sempit itu. Masing-masing dengan peranan mereka. Tahan pukat. Cari batu. Cepat sekali kerja-kerja dilakukan. Pukat siap dipasang.

Seterusnya geng-geng mula menghambat ikan-ikan. Apa lagi..Bila dihambat saja, ikan-ikan terus meluru ke muara sungai. Kami boleh lihat ikan-ikan berenang laju melanggar pukat yang terentang itu. Seekor demi seekor ikan terlekat pada pukat. Setelah dipastikan ikan telah turun semuanya, kami mula mendapatkan ikan yang terlekat pada pukat. Ketika inilah saat dan ketika yang cukup kami nantikan. Masing-masing puas bermain dengan ikan.

Pada hari tu, kami makan nasi berlaukkan ikan lampam yang segar hasil tangkapan kami. Macam jadi nelayan pulak.Nelayan moden katakan. Lepas ni geng-geng nak ke sana lagi. Tak puas lagi. Itulah keseronokan di alam semula jadi yang jarang ditemui. Secara kebetulan. Itu dikatakan rezeki.

KALIMAH "ALLAH"?


Suatu masa dulu, negara kita heboh pasal penemuan beberapa kalimah "Allah" yang terdapat pada kayu, ikan, pokok, batu dan sebagainya. Saya juga berkesempatan melihat dan merakam gambar yang tulisannya menyerupai kalimah "Allah". Mungkin para pembaca nak tahu kalimah tersebut terdapat pada medium apa ye. Sebenarnya kalimah itu terdapat pada sekeping daging gulai. Kawan saya yang memberikan daging tersebut untuk diambil gambar. Kawan saya ni cukup perasan tentang benda ni. Beliau menemuinya semasa sedang menikmati satu jamuan. Kalau saya terus ngap je..Tak perasan pun..Mungkin Allah bagi hidayah kepada beliau untuk memperlihatkan kebesaranNya.

Persoalannya sekarang, adakah ia betul-betul kalimah "Allah".

Thursday, December 11, 2008

KENALI RAFFLESIA DI MALAYSIA


Saya cukup berminat dengan alam semulajadi serta khazanah-khazanah yang menjadi penghias alam ini. Salah satu daripadanya ialah Bunga Pakma atau Rafflesia. Ia merupakan bunga yang terbesar di muka bumi ini. Di Malaysia hanya 8 spesies sahaja boleh ditemui daripada 20 spesies yang terdapat di dunia. Saya pernah menjumpai bunga ini dalam XPDC saya mendaki gunung dan meneroka hutan. Pernah suatu ketika saya menjumpai sejumlah bunga yang belum kembang. Ia tidak secantik semasa ia kembang. Tetapi sayang. Bunga-bunga tersebut menjadi rebutan kepada mereka yang tidak tahu menilai anugerah Allah itu. Habis kesemua bunga yang belum kembang itu di kutip. Apa mereka nak buat dengan bunga tu. Apa lagi..untuk dibuat ubat. Terutama kepada wanita yang lepas bersalin...Entah benar atau tidak..tiada bukti setakat ini...Kalau mengikut kajian pakar, bunga ini tidak mengandungi unsur-unsur perubatan kepada wanita bersalin...dan yang pasti...bunga tersebut tidak lagi terdapat di kawasan yang pernah saya temui dulu..seolah-olah ia merajuk kepada kerakusan manusia...

Wednesday, December 10, 2008

BUKIT ANTARABANGSA LAGI....




6 Disember 2008. Bencana alam berlaku lagi. Kali ini runtuhan tanah berlaku di tempat sama, iaitu Bukit Antarabangsa. Bukit Antarabangsa Lagi!!!!!.Memang cukup popular. Kejadian kali ini juga turut mengorbankan beberapa nyawa insan yang tersayang.

FAKTA KEJADIAN

  • Runtuhan ini melibatkan kawasan tanah seluas 4 hektar
  • Sebanyak 14 buah banglow di Taman Bukit Mewah ranap menyembah bumi
  • Kejadian ini berlaku pada pukul 3.50 pagi.
  • Tragedi ini menyebabkan 4 nyawa melayang, 14 cedera dan 1 insan hilang
  • Akibat kejadian ini, 3 ribu hingga 5 ribu penduduk sekitar terpaksa dipindahkan kerana rumah kediaman mereka sudah tidak selamat lagi untuk didiami.
  • Operasi menyelamat melibatkan 500 anggota dari pelbagai agensi dan pertubuhan.
  • Polis menutup kawasan tragedi selepas mangsa dan penduduk dipindahkan.
  • Penduduk dipindahkan di Sek. Keb. Hulu Kelang dan balairaya berhampiran.
  • Lokasi kejadian terletak kira-kira 1.5 km dari lokasi tragedi blok Highland Tower pada 11 Dis. 1993 yang mengorbankan 48 orang.
  • Mangsa yang terkorban terdiri daripada Shaiful Khas Shahrudin 20, Dr. S. Yogeswari 40, Ng Yee Peng 40 dan pembantu rumah warga Indonesia Surinah 30.


Sebelum kejadian, mangsa yang terselamat dalam kejadian itu memberitahu, terdengar dentuman yang kuat. Menurut seorang jurutera, letupan itu adalah sesuatu yang biasa berlaku akibat lereng bukit yang roboh.

PUNCA KEJADIAN
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dipercayai berpunca daripada aliran air bawah tanah di kawasan berkenaan.
Siraj Akbar Ali, seorang jurutera berkata "Runtuhan lereng itu adalah akibat takungan air yang berlebihan mungkin akibat sistem perparitan yang kurang sempurna"


"Sistem perparitan dalam pembangunan lereng bukit adalah dalam bentuk horizontal dalam mana air hujan mengalir keluar dan masuk ke parit monsun, sungai atau anak air, hasilnya tiada air menyerap atau bertakung pada tanah di lereng bukit"

"Biasanya kegagalan sistem perparitan menyebabkan penyerapan atau takungan jumlah air yang banyak pada tanah lereng yang mengakibatkan bencana"

"Jurutera geoteknikal adalah pihak yang paling layak menentukan keadaan tanah dan jenis struktur yang boleh dibina di lereng"

"kerja geoteknik adalah untuk memahami perubahan pergerakan bahan bumi seperti tanah dan bagaimana bahan bumi di tempat terbabit memberi kesan kepada struktur yang sedang dibina di situ"

Pakar Geologi UKM, Prof. Dr. Ibrahim Komo berkata "Setiap bencana tanah runtuh pasti memberi petunjuk seperti pergerakan tapak yang berlaku beberapa hari atau minggu sebelum kejadian ini"

"Pergerakan itu seharusnya sudah diketahui malah diambil perhatian penduduk di kawasan berkenaan namun ia seolah-olah tidak diendahkan oleh sesiapa"

"Perubahan cuaca yang selalu hujan di sekitar kawasan itu turut menyumbang berlakunya kejadian tanah runtuh"


"Penduduk sekitar juga sepatutnya sudah mengesan beberapa perubahan dari keadaan sekitar kediaman mereka. Ia seperti sekahan di dinding, ada batu-batu kecil yang jatuh di lereng atau melihat parit menjadi mengecil"

"Jenis batu campuran granit dan kapur menjadi struktur tanah di kawasan itu, jelas menjadi punca tanah-tanah menggelonsor ke bawah akibat takungan air di permukaan cerun tidak stabil"


Prof. Madya Dr. Syed Jamaludin Syed Ali, pensyarah Jabatan Sains Ukur dan Geomatik UiTM berkata "Kejadian itu dilihat berpunca daripada hujan selain kurangnya pemantauan oleh pihak berkuaa sendiri di kawasan tersebut"

"Pembangunan yang berlebihan juga menyumbang bencana tanah runtuh selain mengingatkan kawasan itu seharusnya menjadi lokasi yang perlu sentiasa dipantau"

"Kawasan itu dan sekitarnya memang tidak boleh dibangunkan lagi. Ia lokasi yang tidak disangka selain perlu dipantau dengan konsisten oleh pihak berkuasa berkenaan"

"Bangunan di cerun memang berisiko runtuh dan bermasalah lebih-lebih lagi hujan yang memyumbang kepada tragedi"


APA KATA PEMIMPIN



Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua kerajaan negeri menimbang untuk menghentikan projek perumahan di kawasan lereng bukit dan cerun yang berisiko tinggi.


"Ia bukan satu kerugian tapi demi keselamatan"

"Mungkin tuan tanah akan marah, sebab nak guna tanah untuk bina rumah. Mungkin pemaju nak dirikan rumah atau kondominium di sini akan tidak senang hati, kalau sekiranya ditegah meneruskan hasrat mereka di kawasan berisiko itu"

"Kalau pihak pemaju mahukan keuntungan melalui projek di lereng bukit, ia akan menyebabkan kerugian pada kemudian hari"

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata "Walaupun kawasan itu nampak seolah-olah selamat tetapi sebenarnya tidak dan kita mesti lebih berhati-hati dalam meluluskan sebarang projek pembangunan di kawasan sebegini"


APA KATA AGAMA ISLAM


Penasihat Majlis Agama islam Johor, Datuk Noh Gadot mengajak kesemua masyarakat terutama penganut Islam supaya insaf dan amanah dengan tanggungjawab masing-masing.

"Di dalam al-Quran ada ayat yang menyatakan 'maka berlakulah kerosakan di darat dan di lautan disebabkan perbuatan manusia sendiri',"


"Daripada perspektif Islam lagi, malapetaka yang melanda adalah disebabkan dua perkara utama iaitu ketentuan Allah atau istilah bahasa Arabnya qada dan qadar serta peranan manusia"


"Di dalam al-Quran juga ada menjelaskan mengenai pembinaan di bukit-bukit yang tidak boleh 'ditogelkan' 100 peratus"


"Menurut ajaran Islam, sesuatu pembangunan itu sebaik-baiknya dilakukan di atas tanah yang mantap serta mempunyai risiko paling tinggi untuk ditimpa bencana alam"

"Jika sesuatu bencana itu berpunca daripada angkara manusia, ia biasanya kerana manusia melupakan ajaran agama yang menuntut untuk menghormati alam seperti dijelaskan di atas"

"Selain itu, ada juga kes manusia tidak menghormati undang-undang yang dirangka manusia sendiri mengingkari larangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama dalam hal pembangunan tanah"

"Alam ini ibarat sarang tebuan, jika dijolok, bukan seorang sahaja yang menerima padahnya malahan individu lain yang berada brdekatan akan turut terpalit"

Tulisan ini hanya sekadar untuk renungan kita bersama.

Thursday, December 04, 2008

SALAM AIDILADHA

Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban akan disambut oleh umat Islam di Malaysia pada 8 Dis. 2008 iaitu pada hari Isnin. Kepada umat Islam sekelian saya mengucapkan Selamat Menyambut Aidil Adha. Kepada kedua emak dan ayah saya yang sedang menunaikan haji di Tanah Suci Mekah, kami anak-anak mendoakan semoga mak dan ayah mendapat rahmat, ketenangan dan mendapat haji mabrur.
Hari Raya Haji ini tidak dapat dipisahkan dengan amalan korban binatang ternakan. Bermula pada hari raya pertama lagi umat Islam mengerjakan amalan korban ini. Selepas sahaja sembahyang sunat hari raya, maka berderu-derulah mereka yang mengambil bahagian dalam amalan korban ini ke tempat sembelihan akan dijalankan.
Suasana cukup menarik bila amalan ini hendak dilangsungkan. Sanak saudara ramai yang datang untuk menyaksikan sembelihan berlangsung. Masing-masing membawa bekas untuk mengisi daging korban.Kemudiannya ia akan dibahagikan kepada yang berhak menerimanya.
Biasanya tukang sembelih dah ready kat haiwan korban awal-awal lagi. Pada hari ni lah pisau sembelih yang tajam akan memutuskan halkum dan urat hemereh haiwan. Pisau ni bukan sebarang pisau. Pisau khas. Digunakan semata-mata untuk sembelih saja. Tak boleh guna untuk tujuan lain.
Suasana paling menarik ialah semasa hendak merebahkan haiwan korban. Agak susah untuk merebahkannya. Saat ini pengalaman dan tenaga amat perlu sekali.Kalau lembu yang agak liar, susah untuk direbahkan. Terpaksa berhempas pulas.
Ada berlaku lembu boleh terlepas dari tambatan disaat-saat akhir sembelih akan dilakukan. Kadang-kadang lembu tersebut tak dapat ditangkap semula. Terlopong mereka yang dah book lembu tersebut.
Salam Aidil Adha..

Wednesday, December 03, 2008

SIMPATI KEPADA SAHABAT MANGSA BANJIR

Pertama-tamanya saya melahirkan simpati kepada sahabat-sahabat yang di dalam kesusahan kerana dirundung malang akibat banjir yang melanda kawasan kediaman mereka. Kepada sahabat-sahabat yang tinggal di Pusu Tiga, Tepoh dan Rhu Muda yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir, harap redha dan sabar dengan ketentuan Allah ini. Walaupun ungkapan sabar senang sekali saya ucapkan kepada sahabat, tetapi kepada sahabat yang melaluinya amat payah untuk menelannya.


Saya boleh bayangkan bagaimana kalut dan cemasnya para sahabat menghadapi keadaan ini. Ditambah lagi saya difahamkan paras air mula naik secara mendadak pada awal pagi semasa sedang tidur lena diulit mimpi yang indah. Bukan perkara mudah untuk menyelamatkan harta benda dan nyawa dibawah tanggungan sahabat sekelian...anak-anak...perlu diutamakan..


Hujan yang turun dengan lebat pada hari Jumaat hingga hari Selasa (28.11.08 - 2. 12.08) mengakibatkan berlakunya banjir ini. Bukan sesuatu yang pelik banjir berlaku di Negeri Terengganu. Ia perkara biasa. Bulan Oktober hingga bulan Januari merupakan musim Monson Timur Laut yang membawa hujan yang agak lebat di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung. Setiap tahun negeri-negeri ini sentiasa dilanda banjir atau orang Terengganu panggil "bah".

Kepada para sahabat yang terpaksa tinggal buat sementara waktu di pusat pemindahan banjir, laluilah ia dengan senyum. Walaupun terpaksa makan nasi kawah, ikan sardin, ikan kering dan berulamkan air mata, hadapilah dengan tabah. Mungkin ada hikmah disebalik kejadian ini. Hanya Allah saja yang maha mengetahui.

Saya memanjatkan doa kepada Allah, agar Ya Spek, Halim, Ndek, Lizaidi dan sahabat lain sentiasa dilindungiNya dalam menghadapi saat sukar begini. Semoga keadaan kembali normal secepat mungkin. Yang pasti, pengalaman pahit yang dialami sahabat sekelian cukup bermakna.