Wednesday, December 10, 2008

BUKIT ANTARABANGSA LAGI....




6 Disember 2008. Bencana alam berlaku lagi. Kali ini runtuhan tanah berlaku di tempat sama, iaitu Bukit Antarabangsa. Bukit Antarabangsa Lagi!!!!!.Memang cukup popular. Kejadian kali ini juga turut mengorbankan beberapa nyawa insan yang tersayang.

FAKTA KEJADIAN

  • Runtuhan ini melibatkan kawasan tanah seluas 4 hektar
  • Sebanyak 14 buah banglow di Taman Bukit Mewah ranap menyembah bumi
  • Kejadian ini berlaku pada pukul 3.50 pagi.
  • Tragedi ini menyebabkan 4 nyawa melayang, 14 cedera dan 1 insan hilang
  • Akibat kejadian ini, 3 ribu hingga 5 ribu penduduk sekitar terpaksa dipindahkan kerana rumah kediaman mereka sudah tidak selamat lagi untuk didiami.
  • Operasi menyelamat melibatkan 500 anggota dari pelbagai agensi dan pertubuhan.
  • Polis menutup kawasan tragedi selepas mangsa dan penduduk dipindahkan.
  • Penduduk dipindahkan di Sek. Keb. Hulu Kelang dan balairaya berhampiran.
  • Lokasi kejadian terletak kira-kira 1.5 km dari lokasi tragedi blok Highland Tower pada 11 Dis. 1993 yang mengorbankan 48 orang.
  • Mangsa yang terkorban terdiri daripada Shaiful Khas Shahrudin 20, Dr. S. Yogeswari 40, Ng Yee Peng 40 dan pembantu rumah warga Indonesia Surinah 30.


Sebelum kejadian, mangsa yang terselamat dalam kejadian itu memberitahu, terdengar dentuman yang kuat. Menurut seorang jurutera, letupan itu adalah sesuatu yang biasa berlaku akibat lereng bukit yang roboh.

PUNCA KEJADIAN
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dipercayai berpunca daripada aliran air bawah tanah di kawasan berkenaan.
Siraj Akbar Ali, seorang jurutera berkata "Runtuhan lereng itu adalah akibat takungan air yang berlebihan mungkin akibat sistem perparitan yang kurang sempurna"


"Sistem perparitan dalam pembangunan lereng bukit adalah dalam bentuk horizontal dalam mana air hujan mengalir keluar dan masuk ke parit monsun, sungai atau anak air, hasilnya tiada air menyerap atau bertakung pada tanah di lereng bukit"

"Biasanya kegagalan sistem perparitan menyebabkan penyerapan atau takungan jumlah air yang banyak pada tanah lereng yang mengakibatkan bencana"

"Jurutera geoteknikal adalah pihak yang paling layak menentukan keadaan tanah dan jenis struktur yang boleh dibina di lereng"

"kerja geoteknik adalah untuk memahami perubahan pergerakan bahan bumi seperti tanah dan bagaimana bahan bumi di tempat terbabit memberi kesan kepada struktur yang sedang dibina di situ"

Pakar Geologi UKM, Prof. Dr. Ibrahim Komo berkata "Setiap bencana tanah runtuh pasti memberi petunjuk seperti pergerakan tapak yang berlaku beberapa hari atau minggu sebelum kejadian ini"

"Pergerakan itu seharusnya sudah diketahui malah diambil perhatian penduduk di kawasan berkenaan namun ia seolah-olah tidak diendahkan oleh sesiapa"

"Perubahan cuaca yang selalu hujan di sekitar kawasan itu turut menyumbang berlakunya kejadian tanah runtuh"


"Penduduk sekitar juga sepatutnya sudah mengesan beberapa perubahan dari keadaan sekitar kediaman mereka. Ia seperti sekahan di dinding, ada batu-batu kecil yang jatuh di lereng atau melihat parit menjadi mengecil"

"Jenis batu campuran granit dan kapur menjadi struktur tanah di kawasan itu, jelas menjadi punca tanah-tanah menggelonsor ke bawah akibat takungan air di permukaan cerun tidak stabil"


Prof. Madya Dr. Syed Jamaludin Syed Ali, pensyarah Jabatan Sains Ukur dan Geomatik UiTM berkata "Kejadian itu dilihat berpunca daripada hujan selain kurangnya pemantauan oleh pihak berkuaa sendiri di kawasan tersebut"

"Pembangunan yang berlebihan juga menyumbang bencana tanah runtuh selain mengingatkan kawasan itu seharusnya menjadi lokasi yang perlu sentiasa dipantau"

"Kawasan itu dan sekitarnya memang tidak boleh dibangunkan lagi. Ia lokasi yang tidak disangka selain perlu dipantau dengan konsisten oleh pihak berkuasa berkenaan"

"Bangunan di cerun memang berisiko runtuh dan bermasalah lebih-lebih lagi hujan yang memyumbang kepada tragedi"


APA KATA PEMIMPIN



Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua kerajaan negeri menimbang untuk menghentikan projek perumahan di kawasan lereng bukit dan cerun yang berisiko tinggi.


"Ia bukan satu kerugian tapi demi keselamatan"

"Mungkin tuan tanah akan marah, sebab nak guna tanah untuk bina rumah. Mungkin pemaju nak dirikan rumah atau kondominium di sini akan tidak senang hati, kalau sekiranya ditegah meneruskan hasrat mereka di kawasan berisiko itu"

"Kalau pihak pemaju mahukan keuntungan melalui projek di lereng bukit, ia akan menyebabkan kerugian pada kemudian hari"

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata "Walaupun kawasan itu nampak seolah-olah selamat tetapi sebenarnya tidak dan kita mesti lebih berhati-hati dalam meluluskan sebarang projek pembangunan di kawasan sebegini"


APA KATA AGAMA ISLAM


Penasihat Majlis Agama islam Johor, Datuk Noh Gadot mengajak kesemua masyarakat terutama penganut Islam supaya insaf dan amanah dengan tanggungjawab masing-masing.

"Di dalam al-Quran ada ayat yang menyatakan 'maka berlakulah kerosakan di darat dan di lautan disebabkan perbuatan manusia sendiri',"


"Daripada perspektif Islam lagi, malapetaka yang melanda adalah disebabkan dua perkara utama iaitu ketentuan Allah atau istilah bahasa Arabnya qada dan qadar serta peranan manusia"


"Di dalam al-Quran juga ada menjelaskan mengenai pembinaan di bukit-bukit yang tidak boleh 'ditogelkan' 100 peratus"


"Menurut ajaran Islam, sesuatu pembangunan itu sebaik-baiknya dilakukan di atas tanah yang mantap serta mempunyai risiko paling tinggi untuk ditimpa bencana alam"

"Jika sesuatu bencana itu berpunca daripada angkara manusia, ia biasanya kerana manusia melupakan ajaran agama yang menuntut untuk menghormati alam seperti dijelaskan di atas"

"Selain itu, ada juga kes manusia tidak menghormati undang-undang yang dirangka manusia sendiri mengingkari larangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama dalam hal pembangunan tanah"

"Alam ini ibarat sarang tebuan, jika dijolok, bukan seorang sahaja yang menerima padahnya malahan individu lain yang berada brdekatan akan turut terpalit"

Tulisan ini hanya sekadar untuk renungan kita bersama.

No comments: